// Sengaja Aku Jatuh Cinta: Bab 18.


“HAHA!”

“Assalamualaikum wahai sahabat.” 

Dinie mencebik. Dia letak beg galas dan sling bag jenama Charles & Keith yang baru dibeli bulan lepas. Sebelah tangan elok kepit iPhone pada telinga. Suara Nabiha yang mengekek itu membuatkan Dinie rasa makin menyampah. Amboi, senang hati nampak? 

“Walaikumussalam. Kau kat mana ni? Jarang kau lewat macam ni.” Dinie pandang jam tangannya pula. Sudah pukul 9.30 pagi. Dia tahu selalunya Nabiha masuk kerja pada pukul lapan pagi.

“Mama aku….”

“Kenapa dengan mama?” soal Dinie mula risau. Dia duduk di atas kerusi dan bukan iMac. Farid yang duduk di sebelah mejanya tersengih-sengih. 

“Mama aku, malas kejut aku. Aku tak boleh sembahyang hari ni, lupa kunci jam. Tapi mama aku boleh buat tak tahu je,” balas Nabiha dengan nada tidak berpuas hati.

Dinie mengucap perlahan. Ingatkan apalah? 

“Umur kau berapa, Haha? Dah nak kahwin, perangai mengalahkan si Noah tu. Noah pun dah reti bangun sendiri,” bebel Dinie. 

“Ish, kau ni…. Bukan selalu aku lupa kunci jam. Hmm… takpelah D. Nantilah kita borak. Jammed teruk ni. Aku baru je keluar rumah. Terpaksalah aku balik lewat hari ni.” 

Dinie sekadar mengangguk. Kalau datang lewat, balik pun mestilah lewat juga. Perutnya juga lapar, dan perlu diisi dengan segera. Bekal tidak dibawa, mungkin ada biskut di pantri yang memang sengaja disediakan SENI MEDIA setiap minggu. Pantri di setiap aras memang dipastikan ada makanan walaupun sekadar biskut. 

“Abang Farid dah makan?” soal Dinie pada Farid, selepas dia menamatkan panggilan. 

Farid mengangguk.

“Baru nak ajak teman….” Dinie pandang sekeliling pejabat. Paling awal staf Majalah URBAN datang, pukul 10 pagi. Hanya Nabiha dan Farid yang selalu masuk pada pukul lapan pagi. 

“Sorry D. Aku ada kerja tak settle lagi. Nah, kuih lebih isteri aku bagi tadi.” 

“Kuih apa ni?” Dinie belek plastik berwarna merah. Wah, karipap! Memang kuih karipap, kuih kegemarannya. 

“Aku tahu kau suka. Itu aku suruh Dila beli lebih tadi. Kau habiskan jelah.” 

“Serius?” Dinie tersengih.

“Seriuslah. Ke, kau nak aku tarik balik?” Farid tersengih pula. 

“Eh, tak payah. Ini buat saya sayang lebih kat Kak Dila ni. Lain hari, saya belikan Abang Farid kuih eh!” 

“Dah… tak payah nak ampu aku. Pergilah makan tu. Nanti ramai orang kat pantri.” Farid menghalau dengan senyuman paling manis.

“Sayang Abang Farid.” Dinie tersengih dan terus berlalu ke pantri. Selain Nabiha, dia juga rapat dengan Farid berbanding staf Majalah URBAN yang lain. Farid merupakan ketua wartawan, dan banyak membantunya sejak dia praktikal sehinggalah ditawarkan terus bekerja sebagai wartawan di syarikat yang sama. 

Rezeki sungguh, bukan satu biji tetapi lima biji kuih karipap diberikan Farid. Suka hati Dinie kerana sudah lama tidak makan karipap, walaupun bukannya sukar hendak cari. Kalau ke IKEA, makanan pertama yang dia akan cari adalah karipap. Noah juga sudah ikut terjebak meminati makanan kegemarannya itu. Sambil mengunyah, Dinie scroll Instagram. Nasib baiklah masih tidak ramai orang di pantri. Jadi, tidak perlu beratur panjang untuk membancuh air. 

“Hai Imaan….”

Dinie panggung kepala. Mencebik geram pada Zakwan yang tersengih gaya menyindir padanya. Seperti biasa, sahabat baik Zakwan, Azlan juga turut berada di sebelah. Ya, Zakwan dan Azlan memang kawan baik sewaktu di USM. Satu bilik, dan mengambil jurusan yang sama. Nasib baiklah, walaupun selepas dia putus dengan Azlan, hubungan persahabatannya dengan Zakwan tidak putus. 

“Kau rasa nak sarapan pagi iPhone goreng ke?” soal Dinie.

“Eh, ada jual ke? Nak juga aku rasa.” Tanpa dipelawa, Zakwan dan Azlan duduk di hadapan Dinie. Dua mug air yang masih berasap diletakkan di atas meja. 

“Tak payahlah panggil aku, Imaan. Aku tak suka.” Dinie mengalah. Malas pula nak bergaduh pagi-pagi begini. Dia juga malas nak mengelak lagi dengan Azlan. Biarlah, walaupun dia ada, buat seperti tiada. 

“Oh, kalau Rizq panggil, kau suka?” Zakwan mencebik.

“Dia takpe. Memang aku suka.” Dinie sengaja sengih gatal. Sebenarnya, dia sengaja cakap begitu kerana mahu melihat reaksi Azlan. Seperti yang dia jangka, Azlan tiba-tiba tersengih kelat.

“Wah, semalam kau dating sampai pukul berapa?” Zakwan sudah mula mengeluarkan kepakarannya dalam menemuramah orang. 

“Kau sibuk nak tahu kenapa?” Dinie tidak selesa. 

“Selama ni, kau tak pernah rahsiakan apa-apa dari aku. Lagipun semalam, satu mesej dari group Whatsapp kita pun kau tak reply.” Air muka Zakwan berubah muram, tetapi sempat sumbat sebiji karipap di dalam mulut.

“Wei, karipap aku!” Tidak sempat Dinie menghalang. Bengang betul dia. 

Zakwan dan Azlan serentak ketawa. Mereka berdua memang sedia maklum akan kegemaran Dinie. Kalaulah karipap, Dinie sanggup putus kawan sebab tak mahu berkongsi. 

“Cepatlah D. Kau dating sampai pukul berapa?” soal Zakwan lagi, selepas berjaya menelan karipap. Hampir-hampir dia tersedak apabila ketawa tidak sedar diri tadi. 

Dinie pandang Zakwan, sebelum beralih pada Azlan. Bukan dia tidak selesa bercerita pada Zakwan, tapi dia memang tidak selesa kerana ada Azlan. Dia juga tertanya-tanya, selepas bertahun-tahun menghilangkan diri, Azlan tiba-tiba muncul. 

“Aku tak dating. Kebetulan kakak dan abang ipar Rizq ada emergency kat klinik, jadi terpaksalah aku duduk rumah kakak dia sampai pukul 11. Budak-budak tu takde siapa jaga.”

“Rizq?” Akhirnya, suara Azlan kedengaran juga. 

“Dia ada lah. Rumah kakak dia kan? Takkan aku pula nak buat macam rumah sendiri.” Dinie sudah tidak membahasakan dirinya ‘Dinie’ lagi pada Azlan. Biarlah, ‘kau’ dan ‘aku’ seperti mula-mula mereka kenal dulu walaupun Azlan tua dua tahun darinya, sama seperti Zakwan dan Jebat. 

“Maksud kau, korang berdua je?” Zakwan menyoal tidak percaya.

“Lah, budak-budak tu ada kan?” 

“Budak-budak tu tak cukup umur. Maksudnya, memang korang berdua je dalam rumah tu?” soal Zakwan lagi. Ayat nampak sama sahaja. 

“Bibik kakak Rizq ada,” balas Dinie lambat-lambat

Zakwan dan Azlan serentak mengangguk. Mereka berdua nampak lega. 

“Speak of the devil. Panjang umur kekasih kau tu,” ujar Zakwan sambil mulutnya muncung pada iPhone Dinie yang berada di atas meja. 

Berubah air muka Dinie. Bukan terkejut Rizqin tiba-tiba menghubunginya, tetapi melihat muka Rizqin yang memenuhi skrin iPhone. Mesti kerja budak-budak ini semalam yang meminjam telefonnya untuk menangkap gambar. Dia memang ada perasan gambar Rizqin yang tersengih lebar dalam gallery telefon, tapi dia buat tidak tahu. Tidak sangka pula, dalam senyap… terus dijadikan photo caller ID. Pandai betul budak-budak zaman sekarang ini. 

“Err, jap!” Dinie hendak bangun, tetapi Zakwan tarik lengan baju kemejanya.

“Tak payah. Bukan dengan siapa pun… kita orang tak kisah.” Zakwan mengeluarkan Samsung S6 dari poket seluarnya. Azlan yang memang sejak tadi memegang IPhone terus tunduk.

Dinie mengeluh. Dia kembali duduk, dan swipe iPhone. 

“Assalamualaikum.” 

“Walaikumussalam.” Dalam rasa tidak selesa berbual di hadapan Zakwan dan Azlan, Dinie tiba-tiba rasa segan apabila memikirkan apa yang berlaku semalam. Ya Allah, betul ke aku dah bersetuju?

“Awak kat mana tu? Kenapa lambat angkat call?” soal Rizqin, bernada bimbang.

“Saya kat pantri ni dengan Wan dan Zack.” Mata Dinie melirik pada Zakwan dan Azlan yang seperti berpura-pura khusyuk menatap skrin telefon masing-masing, tetapi Dinie tahu mereka pasang telinga! 

“Oh, dah sampai office tu? Tadi siapa hantar Noah? Kak Ezzaty ke?” 

“Tak. Saya. Kak Ezzaty, Abang Fadli masuk klinik lambat sikit katanya. Jadi, alang-alang tu… saya hantar budak-budak tu semua. Aidan jelah, merengek sikit pagi tadi. Tak cukup tidur kot. Semalam pukul berapa dia tidur, sekejap-sekejap terjaga.” Apabila Rizqin melaung ‘Yes’ semalam, Aidan terus terjaga dan menahan mata dari tidur sehinggalah Ezzaty dan Megat Fadli sampai di rumah. 

“Noah, Alana?” 

“Okay. Tapi saya agak, mesti nanti kat tadika dia orang mengantuk.” Dinie tersenyum. Nasib baiklah tidak sukar menguruskan Noah dan Alana pagi tadi. Selepas Ezzaty dan Megat Fadli pulang semalam, Rizqin juga pulang ke rumah sewanya.

“Saya pun sikit lagi nak terlajak bangun subuh.” 

“Lah, awak tak kunci jam?” 

“Hmm… pukul 12 baru sampai rumah semalam Imaan. Pukul dua baru tidur.”

“Awak buat apa?” Pelik Dinie, dan tiba-tiba dia rasakan perbualan mereka semakin panjang. Eh, apa tujuan sebenar Rizqin menelefonnya?

“Yalah, saya hantar mesej semalam… awak langsung tak reply. Saya tunggu awak reply mesej saya.” 

Mata Dinie membulat. Betul ke?

“Ya Allah Rizq… saya masuk rumah, berkejar dengan Noah suruh dia tidur. Masa tu telefon tu dah mati sebab takde bateri. Saya charge sebelum tidur dan terus tidur. Saya bangun pagi tadi, baru perasan mesej awak. Saya ingat nak balas, tapi saya sibuk uruskan Noah pula pagi tadi. Saya minta maaf.” Dinie betul-betul rasa bersalah.

Rizqin tergelak.

“Saya gurau jelah Imaan. Saya berborak dengan Shah pasal… kita.”

Dinie tersentak. Pasal kita? Kahwin ke? Dia memang tahu Rizqin dan Shahmim serumah. 

“Err….” Dinie garu kepala. Tidak jadi hendak marah Rizqin kerana berjaya menipunya hidup-hidup. Dia pula boleh pula lupa tentang persetujuannya untuk berkahwin dengan lelaki itu, dan terus tidur mati malam tadi. 

“Awak kat mana ni, Rizq?” Dinie tukar topik.

Rizqin tergelak lagi. Dia dapat merasai kekalutan gadis itu. Tentu muka Dinie sekarang merah padam! Memang lama dia berborak dengan Shahmim semalam sehingga terlupa hendak tidur. 

“Saya kat court.”

“Cot?” Berkerut-kerut dahi Dinie. Terus terbayangkan baby cot Aidan. 

“Bukan baby cot Aidan, sayang. Tapi, court, mahkamah.” 

“Oh….” Dinie tergelak pula. Eh, tahu-tahu pula Rizqin apa yang dia fikirkan?

“Hmm… nantilah kita borak lagi Imaan. Saya nak breakfast jap sebelum masuk court.”

“Eh, awak called sebab apa?”

“Baru nak tanya?” 

“Bukanlah… bercakap pasal benda lain, lupa saya nak tanya.”

“Saya nak tanya, awak dah sampai office ke? Kalau tunggu awak mesej saya, memang tidaklah. Mesej semalam pun tak reply-reply lagi. Ke, awak tak baca?”

“Eh, bacalah!”

“Saya tulis apa?” soal Rizqin dengan sengaja.

“Err… saya baca. Banyak awak tulis. Nak suruh saya ulang yang mana?” Dinie gelabah. 

“Hmm… tak payah ulang semua. Awak ulang ayat terakhir je.” 

“Err….” Memang Rizqin sengaja! Kalau lelaki itu ada depan matanya, memang dia luku-luku kepala!  

“Saya tulis apa?” soal Rizqin lebih perlahan, dan tiba-tiba dirasakan dalam nada romantik. Dia sengaja sebenarnya kerana dia tahu Azlan dan Zakwan berada bersama dengan Dinie, dan dia dapat rasakan Azlan itulah orang dimaksudkan Noah… yang membuatkan gadis itu pernah menangis. 

“I love you.” Merah padam muka Dinie. 

Kali ini, memang sah-sah Azlan dan Zakwan mendengar perbualannya kerana kedua-dua lelaki itu terus mendongak memandangnya. 

“I love you, too…. Ingat, belajar jatuh cinta dengan saya. Saya off dulu.” Talian dimatikan Rizqin selepas memberi salam. Dinie hanya menyambut salam dalam hati. iPhone kembali diletakkan di atas meja. Perlahan-lahan dia sumbat tangannya dalam plastik, sambil matanya menjeling pada Azlan dan Zakwan. 

“Err… makanlah,” pelawa Dinie. Plastik berisi karipap dihalakan pada kedua-dua lelaki di hadapannya. 

“You really owe me the explanation,” ujar Zakwan, serius. Aura seorang abang mula keluar. Jarang sungguh Zakwan tunjuk riak begitu. 

“I know I do, but I just feel like isn’t the right time.” Dinie menjeling pada Azlan. 

“Zack masuk ofis dulu. Ada kerja.” Azlan berdiri, dan terus mengangkat mug yang masih penuh berisi air Nescafe. 

“Okay. Zack dah pergi.” 

“Err… kau betul tak nak karipap ni?” 

“Dinie Imaan.” Zakwan peluk tubuh. Selama ini, pernah ke Dinie tawar karipap padanya?

Dinie mengeluh. Aduhai, tiba-tiba Zakwan bukan seperti seorang abang, tetapi abahnya pula. Ini buat dia rindu pada arwah abah. 

“Kau nak tahu apa?” soal Dinie akhirnya.

“Setahu aku, kau baru kenal Rizq. Cuba cerita kat aku, selama ni, tak pernah kau rahsiakan apa-apa. Lepas kau demam seminggu tu, tiba-tiba aku rasa macam-macam dah jadi.” 

“Sebelum tu, aku nak tahu… dah berapa orang anak Zack tu?”

“Hah?” Zakwan terkedu.

“Kenapa? Aku tak boleh tahu? Dari aku tengok reaksi Zack tadi, mesti semua benda pasal aku kau cerita kat dia kan?” soal Dinie. Dia tahu Azlan sudah mempunyai anak. 

“Aku minta maaf D. Dia tetap kawan aku. Kau tetap kawan baik aku. Aku jadi serba salah. Dia tanya, aku jawab. Lagipun kau tak pernah pesan kat aku, jangan cerita hal kau kat dia kan?” Zakwan nampak serba-salah. 

Dinie mengeluh lagi.

“Yalah, rasanya dah dekat tiga tahun dia menghilang. Tiba-tiba muncul.”

“Anak dia setahu aku, seorang. Perempuan. Aku tak pernah tanya pasal family dia, tapi aku nampak gambar anak dia kat wallpaper telefon dia. Facebook dia dah tutup. Kau tahu kan? Itu jelah. Sebelum ni, dia kerja kat kampung dengan ayah dia. Berjaya interview ni, terus dia datang sini. Setahu aku, isteri, anak dia… ada kat kampung lagi. Dia sekarang duduk dengan cousin dia. Aku ada ajak dia duduk dengan aku, tapi dia tak nak,” jelas Zakwan panjang lebar. 

“Hmm… takpelah Wan. Aku tanya, bukan sebab aku ada hati dengan dia dah. Aku dan dia memang dah lama berakhir. Cuma, aku tak boleh terima… dia muncul tiba-tiba dan langsung macam takde buat salah langsung kat aku. Kat kau… kat kita semua. Bukan aku seorang yang kena tipu.”

“Aku tahu. Tapi kau yang paling banyak terluka kan?” 

Dinie tersenyum.

“Dia muncul dalam hidup aku, nak ajar aku… supaya sayang orang tu berpada-pada. Semua benda dalam dunia ni tak kekal. Kalau tak berpisah sebab mati, mungkin sebab jodoh tak panjang. Hmm…biarlah. Asalkan dia bahagia dengan keluarga dia.” 

“Semalam aku tengok, Noah macam dah tak ingat dia?” Zakwan teringat reaksi Noah semalam. 

“Yalah… masa kecil dulu, Noah memang rapat dengan dia tu. Bila dia hilang, lama-lama Noah dah mula lupa. Mula-mula dulu cari juga Zack tu, kau pun tahu kan?” 

Zakwan mengangguk. Memang selepas Azlan menghilangkan diri dan minta putus dengan Dinie, selain Dinie, Noah juga yang paling terasa dengan kehilangan Azlan itu. Selama di USM dulu, di mana ada Noah dan Dinie, di situ ada Azlan juga. Tidak dinafikan, kawan baiknya itu memang bertanggungjawab. Cuma masing-masing tidak sangka, selepas habis belajar, janji hanya tinggal janji. Janji untuk berkahwin dengan Dinie, terkubur bila Azlan minta putus dan menghilangkan diri. Tahu-tahu sahaja, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. 

“Semalam pun, kau pun perasan kan… Noah buat tak tahu je bila nampak Azlan tu. Dia mungkin ingat nama, sebab kau asyik sebut je. Tapi kalau tanya dia, macam mana rupa Zack tu, dia lupa kot. Gambar-gambar Zack pun memang aku dah tak save. Tak pernah dah aku tunjuk kat Noah lepas putus tu,” ujar Dinie.

Zakwan mengangguk.

“Jadi, boleh aku tahu… macam mana pula, kau boleh tiba-tiba rapat dengan Rizq? Dari apa yang aku dengar tadi, korang bukan macam kawan dah. Selama ni, pernah kau cakap ‘I love you’ dengan aku?” 

“Err… tapi, aku sayang kau.”

“Dah, tak payah nak tukar topik. Cepat!”

“Boleh tak, aku bagitahu kau dengan Haha sekali? Semalam pun, selain kat dalam Whatsapp group, banyak juga dia Whatsapp aku. Tapi tak sempat reply. Kau pun dengar kan, penjelasan aku kat Rizq tu. Lagipun dah lewat ni Wan. Dah dekat pukul 10. Aku banyak kerja ni.” Dinie menghabiskan air Nescafe. Plastik berisi kuih karipap diikat. 

“Rehat ni, kita rehat sama-sama,” putus Zakwan.

“Zack?” 

“Dia… setahu aku dah ada job nak cover dengan orang lain.”

“Okay. Kalau aku takde apa-apa, aku Whatsapp balik. See you.” Dinie terus berdiri. 

Zakwan mengangguk. Dia hanya memandang langkah Dinie ke singki untuk membasuh mug. Setiap cawan mempunyai nama, jadi tidaklah mereka bertukar mug.
# Rindu e-novel ni, lama tak sambung dalam belog. Maaf lama tak update. Ikut kat Facebook, dah 80 hari. T_T

# Dan baru-baru ni, ada orang tanya, "Boleh ke kita ambil ayat dari novel lain-lain, dan jadikan novel baru?" Pelik ayat awak tu dan maaf kalau saya tak reply sebab akaun awak pun macam suspicious juga. Mestilah tak boleh, sayang. Plagiarism dalam assignment pun diharamkan lecturer. Walaupun belog makin hari tak ramai orang buka, patut dah start private ke? 

# Dan, siapa dah baca Sengaja Aku Jatuh Cinta? Hehe. Tekan laju-laju gambar bawah ni kalau nak beli, atau beli online terus kat Lovenovel. Mana-mana pun boleh.