// Kau Princess Aku, Okay: Bab 5.




JIHAN RAYSHA salam Soraya, isteri Encik Syazlan. Kecil molek sahaja isteri Encik Syazlan. Berbeza dengan Encik Syazlan yang agak berisi. Pejam celik, pejam celik sudah seminggu dia tinggal di Malaysia. Sekali sahaja dia berjumpa dengan Hakimy. Keesokan harinya, apabila dia mula bekerja, bayang Hakimy langsung tidak kelihatan sehingga hari ini. 

“Auntie…” tegur Jihan Raysha sebelum menyalami dan memeluk Puan Soraya yang tersenyum mesra. Kadang-kadang Puan Soraya memang seakan mengingatkan dia pada arwah mummy. Senyuman yang lembut dan penuh dengan sifat keibuan. 

“Kakak!” Sofiyya Merican sabar menunggu giliran untuk bersalam dan memeluknya. Aduhai… rindunya dia pada Sofiyya walaupun baru dua bulan tidak berjumpa. Sofiyya baru sahaja habis SPM dan sedang menunggu tawaran universiti. Anak-anak Encik Syazlan yang lain pula tidak berada di Malaysia. Soleha Merican mengikut suaminya bekerja di Amsterdam manakala Sohana Merican pula sedang menyambung pelajaran di Rusia dalam bidang kedoktoran. 

“Sara sihat kakak?” soal Sofiyya, girang. Dia tarik Jihan Raysha duduk di sebelahnya. 

“Sama sihat macam Piyya juga! Cuma mungkin rindukan arwah atook dia. Asyik tanya je mana atook dia jarang jumpa dia dah,” ucap Jihan Raysha. Kesian Sara. Dia juga teramat rindukan arwah daddy. Disebabkan pelat, panggilan atuk bertukar menjadi ‘atook’, nenek menjadi ‘neyneck’. 

“Nanti bila uncle free, biar Atook Syazlan dan Neyneck Soraya lawat dia kat Melbourne tu,” sampuk Encik Syazlan tersenyum. Dia sendiri tahu betapa rapatnya arwah dengan anak-anak dan cucu tunggalnya itu. 

“Auntie Piyya pun nak ikut,” sampuk Sofiyya teruja. 

“Dah nak masuk U, ada hati nak ikut papa, mama jalan-jalan lagi,” sampuk Puan Soraya sambil tergeleng. 

“Biarlah! Bukan takde cuti. Kan kakak?” Lengan Jihan Raysha dipeluk.

Jihan Raysha tarik sengih. Dia mengusap lembut rambut hitam Sofiyya yang ikal mayang itu. Kadang-kadang cemburu juga melihat rambut Sofiyya itu. Dia selalu merasakan rambut hitam berkilat itu lebih cantik. Kalaulah rambutnya juga berwarna hitam seperi daddy. 

Puan Soraya dan Encik Syazlan tergeleng. Faham sangat dengan perangan manja Sofiyya apabila bersama dengan Jihan Raysha dan kakak-kakaknya yang lain. 

“Uncle nak naik sembahyang dulu. Esha duduklah berborak dengan Piyya dulu,” kata Encik Syazlan dan terus masuk ke dalam biliknya di tingkat atas. 

“Auntie nak pergi panaskan lauk jap. Kita tunggu anak saudara auntie sekejap ye. Lepas tu kita makan sekali,” ujar Puan Soraya pula.

“Biar Esha tolong!” Bukan dia tidak biasa ke dapur. 

“Ish, tak payahlah Esha. Bukan nak buat apa pun. Semua dah ada. Auntie nak panaskan je. Nanti busuk pula baju Esha tu.” Puan Soraya menggeleng dan terus melangkah pergi ke dapur. Pembantu rumah yang dipanggil bibik tidak tinggal bersama kerana menetap bersama keluarga berdekatan dengan rumah mereka juga. Selalunya bibik akan pulang selepas masak makan malam. Tetapi disebabkan ada tetamu, bibik akan bermalam di sini. 

Sofiyya bangun membuka televisyen.

“Kenapa kakak tak nak duduk sini? Boleh Piyya ada kawan. Lagipun rumah ni mana ada orang lelaki. Papa je pun lelaki,” ucap Sofiyya tidak berpuas hati. Dah puas pujuk, langsung Jihan Raysha tidak mahu. 

“Kakak tak selesalah nanti Piyya.”

“Ala… kita kan dah macam saudara.” Sofiyya sudah memuncungkan mulut.

Jihan Raysha ketawa.

“Ala… kalau Piyya sekeluarga pergi London pun, bukan pernah tidur rumah kakak kan? Uncle kata tak selesa. Samalah macam kakak juga,” beritahu Jihan Raysha lembut.

Sofiyya tarik sengih. Betul juga!

“Tapi janji dengan Piyya… nanti kalau Piyya nak tidur dengan kakak kat hotel tu, kakak bagi boleh? Piyya bawa kakak jalan-jalan pusing Malaysia!” Bersemangat sekali Sofiyya.

“Reti ke memandu?” 

Sofiyya tarik sengih. 

“Bukan ujian memandu hari tu, Piyya gagal lagi ke?” soal Jihan Raysha tersengih. Memang dia dan Sofiyya selalu berhubung melalui Facebook ataupun Whatsapp. Cuma sejak datang ke Malaysia, dia hanya berhubung melalui Facebook kerana tertinggal telefon di London! Mengamuk Daniel apabila mengetahuinya. Dia ni memang sudah termakan sarang semut! Semua benda nak lupa. 

“Takpe. Piyya ada ramai cousins. Kak Tasha, Kak Nad… Abang Iqram. Semua boleh drive. Selama ni pun, kalau Piyya takde transport, dia orang yang tolong.” 

“Ramai betul cousins Piyya.” Dia baru tahu hal itu. 

“Kakak jangan sedih. Cousins Piyya… cousins kakak juga. Nanti Piyya kenalkan ye? Lepas ni… Abang Iqram nak datang bagi novel Kak Tasha yang berlambak kat rumah tu. Eh, Abang Aidan sihat? Abang Dash? Kak Haven?” Sofiyya memang kenal semua kawan Jihan Raysha yang rapat di London. 

Jihan Raysha tersentak. 

“Kenapa kakak?” Pelik Sofiyya melihat wajah Jihan Raysha bertukar keruh.

“Dash dan Haven sihat je. Cuma Dash busy sikit lepas jadi doktor.” 

“Abang Aidan?” Sofiyya pelik kerana sejak akhir-akhir ini jarang Jihan Raysha bercerita tentang Aidan. Selalu soalan berkaitan Aidan akan dipandang sepi sahaja. 

“Kami dah putus.” 

“Hah?” Sofiyya betul-betul terkejut. 

“Dah dekat sebulan lebih. Lepas Uncle Meor passed away.” 

“Kenapa?” Terkejut besar Sofiyya. Rasanya langsung tiada apa yang kurang pada Aidan. Memang Aidan nampak sangat sempurna. Sekali pandang dah nampak seperti Mark Harmon pun ada. Cuma Aidan tua hampir sepuluh tahun dari Jihan Raysha. Jauh juga perbezaan umur mereka berdua. 

Jihan Raysha tarik sengih. Hambar. Malas nak bercerita panjang lebar. Yang pasti, mereka berdua memang sudah berpisah. Rasanya antara salah satu sebab dia boleh terlupa iPhone juga disebabkan dia mengelak dari menerima panggilan atau mesej daripada Aidan. 

Sofiyya pandang lama wajah Jihan Raysha. Dia tahu Jihan Raysha dan Aidan mula bercinta beberapa bulan selepas Jihan Raysha bekerja di Mega Hotels and Resorts. Aidan pengurus bahagian Jihan Raysha. Malah Encik Ebrahim pun merestui hubungan mereka berdua. Bila pula mereka memutuskan hubungan? 

“Bulan lepas kami putus Piyya. Takde jodoh kot,” jawab Jihan Raysha tanpa mahu mengulas panjang lebar. Lagipun hubungannya itu agak peribadi untuk diceritakan walaupun dia sudah menganggap Sofiyya seperti adiknya sendiri. Pada Daniel dan Dash juga dia memberi jawapan yang sama. 

“Takpelah kakak. Takde jodoh kan? Hmm… kakak bolehlah berkenalan dengan Abang Iqram.” Sofiyya kenyit mata. Sengaja mahu menceriakan semula suasana. Dia ketawa pula apabila melihat wajah merah Jihan Raysha. 

Jihan Raysha tampar lengan Sofiyya.

“Tak payah nak menggada ye! Kakak ni bukan tua sangat pun.”

“Eh… Kak Soleha umur 23 dah kahwin tau kakak. Sekarang ada dua orang anak dah. Agaknya kalau kakak kahwin tahun ni, tahun depan bolehlah Piyya dapat anak saudara mata biru. Sara dah mata hijau. Best betul kahwin dengan caucasian ni. Rambut warna blond. Mata boleh ada macam-macam warna.” 

“Tak payah nak merepek sangat Piyya. Nanti Piyya dapat sambung oversea, carilah sendiri suami caucasian,” giat Jihan Raysha dan terus mencubit pipi tembam Sofiyya.

“Siapalah nak Piyya ni kakak. Gelap. Pendek. Gemuk pulak tu.” Sofiyya tarik muncung.

Jihan Raysha ketawa. Dia terus peluk Sofiyya. Pipi mereka sengaja dilagakan.

“Orang yang buta hati je tak nampak kecantikan sebenar Piyya ni,” ucap Jihan Raysha ikhlas. Kemudian pipi tembam Sofiyya dicuit geram. Entah kenapa dia sedar juga Sofiyya begitu memandang rendah fizikalnya. Bukankah itu hanya luaran semata? 

“Ehem!” 

Jihan Raysha tersentak. Matanya terbuntang. 

Sofiyya menjerit.

“Abang!” 

Jihan Raysha berdiri. Tiba-tiba diserbu rasa malu yang amat sangat. Baru sahaja nak bermanja dengan Sofiyya, sudah kena kacau! Sofiyya pula sudah menghampiri lelaki yang masih terpacak di hadapan pintu utama. Kenapa langsung tidak sedar apa-apa bunyi menandakan kedatangan lelaki itu? 

“Kakak… inilah satu-satunya abang sepupu Piyya. Iqram Zafriel,” beritahu Sofiyya lantas menarik Iqram Zafril masuk ke dalam rumah. Kotak yang penuh berisi buku dibiarkan sahaja tersadai di tepi pintu. 

Jihan Raysha tersenyum. 

“Iqram.” Iqram Zafriel menghulurkan tangan. Kekok dan terkejut pun ada. 

“Esha.” Pantas Jihan Raysha menyambut huluran tangan Iqram Zafriel sebelum matanya beralih pada Sofiyya yang tersengih-sengih macam kerang busuk. 

“Ehem! Sampai bila tu Abang Iqram nak salam tu?” tegur Sofiyya. Bahu Iqram Zafriel ditepuk lembut. Lagipun sudah merah padam muka Jihan Raysha. Sebenarnya pertama kali dia melihat Iqram Zafriel selamba badak menyalami perempuan. Dia sendiri terkejut beruk tadi! Selama ini bukan Iqram Zafriel sangat menjaga ke bab-bab seperti ini? 

Iqram Zafriel garu kepala yang tak gatal. Dia terus melabuhkan punggung. Jihan Raysha kembali duduk. Sofiyya mengambil tempat di sebelah Jihan Raysha. 

“Mana Abang Iqram parking kereta?” Pelik Sofiyya. 

“Hmm... hujung sana. Depan rumah Piyya ni dah penuh kereta. Tadi alang-alang Abang Iqram sampai tadi dah azan, Abang Iqram terus masuk masjid. Jemaah sama-sama. Sebab tu lambat sikit,” maklum Iqram Zafriel tidak lepas memandang wajah Sofiyya dan Jihan Raysha silih berganti. Kebetulan memang masjid dekat sahaja dengan rumah Encik Syazlan. 

Sofiyya pandang Iqram Zafriel dan Jihan Raysha pula. Perlahan-lahan dia tersenyum nipis. Macam ada sesuatu sahaja? Otak kuning sudah merencana sesuatu. Tidak pernah lagi dia melihat Iqram Zafriel begitu gelabah berhadapan dengan perempuan. Maklumlah, adik-beradik dan sepupunya semuanya perempuan. 

“Hmm… kakak dengan Abang Iqram borak dulu. Mama ada kat dapur. Papa sembahyang. Piyya naik atas hantar buku jap!” Tiba-tiba Sofiyya terlebih rajin. 

Jihan Raysha terpinga. Dia tidak sempat nak menghalang, Sofiyya seperti lipas kudung sudah mengangkat kotak sederhana besar ke biliknya di tingkat dua. Dia melepas pandang pada Iqram Zafriel yang turut terpinga. 

“Hmm….” Iqram Zafriel garu kepala yang tidak gatal. Lengan baju kemeja yang memang sudah tersedia terlipat, dilipatnya lagi. Nampak sangat dia tidak tahu skill berborak dengan perempuan. 

Jihan Raysha tersenyum. Alahai… sengaja betul budak Piyya tu tinggalkan aku dengan dia ni! Nak cakap apa? Akhirnya dia hanya memandang TV yang sudah tersedia terpasang. Layan jelah drama Castle walaupun tidak tahu hujung pangkal cerita. 

“Hmm… I heard you can speak Malay?” Suara Iqram Zafriel mula kedengaran selepas beberapa kali berdeham. 

Jihan Raysha angguk kepala. Bukan sejak tadi dia hanya bercakap dalam bahasa Melayu ke? Kelakar pula rasanya cara lelaki di hadapannya ini memulakan perbualan. 

“I’m from London,” beritahu Jihan Raysha. 

“Belajar mana cakap Melayu?” 

“Daddy saya orang Melayu juga,” beritahu Jihan Raysha. Dia melepas pandang wajah Iqram Zafriel sebelum mukanya diserbu rasa malu apabila menyedari mata redup Iqram Zafriel tidak habis-habis memandangnya. Jantungnya berdegup kencang. 

“Ya? Kiranya awak ni mixed lah ye?” soal Iqram Zafriel takjub. Rasanya macam pernah dengar sahaja? Eh, tidak mungkin pula PRO yang pernah menjadi topik perbualan dia dan Hakimy dulu berada di hadapannya kini? Aik, kecilnya dunia? 

Jihan Raysha mengangguk laju. 

“Langsung tak nampak Melayu rupa awak ni.”

Jihan Raysha ketawa pula. Reaksi biasa apabila orang mengetahui dia berdarah kacukan. 

“Awak ke anak angkat tak rasmi pak su saya?” soal Iqram Zafriel. Dia ada mendengar Encik Syazlan bercerita tentang kawan lamanya yang sama-sama membesar di rumah anak-anak yatim dulu dan menetap di London. 

“Yelah kot.” Jihan Raysha tersenyum. Memang sejak mengetahui dia anak angkat Encik Ebrahim, hubungan dia dengan Encik Syazlan bertambah rapat. 

“Saya pun ada kawan.…” 

“Hah, sampai dah!” 

Pantas Iqram Zafriel dan Jihan Raysha memandang suara yang menegur. 

“Baru balik kerja ke?” soal Encik Syazlan. Iqram Zafriel bangun menyalami ayah saudaranya. 

“Pagi tadi Kak Tasha bagi novel tu. Kalau nak balik rumah dulu tadi, memang tak sempat nak bagi malam ni sebelum dinner. Jammed teruk betul sebab ada accident tadi,” maklum Iqram Zafriel. Encik Syazlan sudah melabuhkan punggung di sebelah anak saudaranya itu. 

“Pak su ada dengar juga tadi. Teruk ke accident tu?”

“Teruk juga.” Iqram Zafriel kembali memandang Jihan Raysha. Kenapa dengan aku ini?

Encik Syazlan yang menyedari sudah tersenyum simpul. Si ‘pemberi berita’ tadi ada memaklumkan sewaktu dia menjenguk ke dapur. Elok sahaja Sofiyya mengacau mamanya di dapur kerana tidak mahu menjadi ‘pengacau’ di ruang tamu. 

“Kalau Esha nak tahu… Kimy, Jimy dan Iqram ni berkawan baik. Dah macam adik-beradik,” beritahu Encik Syazlan. Paha anak saudaranya ditepuk lembut. Cuba membawa Iqram Zafriel ke alam realiti. Asyik merenung anak dara orang, sampai merah padam muka Jihan Raysha. 

“Kimy… Jimy?” 

“Oh, Kimy… Executive Vice President kita. Esha lupa ke? Jimy tu… adik kembar dia,” balas Encik Syazlan. 

Jihan Raysha gigit bibir. Kecilnya dunia? Kenapa mesti lelaki di hadapannya ini berkawan baik pula dengan kedua-dua lelaki kembar itu? 

Iqram Zafriel mengangguk. Pelik juga melihat reaksi terkejut Jihan Raysha. 

“Anak saudara uncle ni dah tua terlajak dah. Umur dah 30 tahun. Tapi memilih sangat. Nak perfect. Kalau Esha berminat, boleh isi borang jadi calon isteri Iqram. Nanti uncle email borang tu.” Selamba Encik Syazlan menyakat Iqram Zafriel yang sudah terkejut dengan kata-katanya. 

“Sebenarnya siapa yang suruh isi borang ni uncle? Pak su tu ada tiga lagi tempat kosong kan?” Giat Iqram Zafriel pula, tidak mahu mengalah.

Encik Syazlan ketawa besar.

“Haish, Esha ni dah macam anak uncle! Lainlah… awak tu Iqram. Lain macam je pak su tengok malam ni.”

Iqram Zafriel tarik sengih. Obvious sangat ke? Bukan dia tidak pernah berkawan dengan gadis berambut blond. Malah sewaktu belajar, memang ramai je. Cuma entahlah… hatinya langsung tidak terbuka. Dia kembali memandang Jihan Raysha yang tersenyum sahaja sejak tadi. 

“Kimy pernah cerita pasal awak,” ucap Iqram Zafriel. 

“Apa lagi dia cerita?” soal Jihan Raysha ingin tahu. 

“Awak cantik.” 

“Hah?” Jihan Raysha terkedu. Mukanya yang memang merah, bertambah merah. 

“Kimy atau Iqram yang cakap?” Sengaja Encik Syazlan mengusik Iqram Zafriel yang sudah tersengih-sengih apabila melihat wajah merah Jihan Raysha. Dia senang hati. Pertama kali dalam seumur hidupnya, dia melihat Iqram Zafriel naik bulu! 



“TAMBAH lagi tu Esha. Badan tu kurus sangat dah auntie tengok,” tegur Puan Soraya. 

Jihan Raysha mengangguk. Kalau Puan Soraya tidak menyuruh dia menambah, memang dia berhajat untuk menambah lagi. Sejak daddy meninggal dunia, dia tidak lagi menyentuh makanan kegemarannya yang selalu dimasak daddy. Sekali lagi sudu yang penuh dengan nasi disuap ke dalam mulut. 

“Tomyam dan paprik ni makanan kegemaran Esha,” beritahu Encik Syazlan. Dia senang hati melihat Jihan Raysha nampak begitu berselera. Sebenarnya dia perasan selera makan Jihan Raysha sudah hilang sejak ayahnya meninggal dunia. 

“Patutlah makan tak pandang kiri kanan.” Tersengih Iqram Zafriel yang duduk di sisi Jihan Raysha. Dia pula semakin berselera melihat Jihan Raysha yang begitu berselera. 

“Eh, pedas ke kakak?” 

“Termakan cili pula! Ingatkan sayur tadi.” Merah padam muka Jihan Raysha. Dahinya sudah berpeluh. 

Kelam kabut Puan Soraya hendak bangun tetapi dihalang Iqram Zafriel. 

“Takpe mak su. Nah!” Iqram Zafriel menghulur gelas berisi air sirap.

Tanpa banyak soal, terus Jihan Raysha meneguk laju. Dia langsung tidak perasan Encik Syazlan yang sudah berpandangan dengan Puan Soraya. Sofiyya pula semakin lebar sengih. Pelik. Memang pelik. Sejak bila pula Iqram Zafriel ini tidak kisah berkongsi air ataupun makanan? Semua orang tahu betapa Iqram Zafriel amat mementingkan kebersihan.

“Terima kasih.” Gelas diletakkan di atas meja semula. 

“Sebenarnya dah lama saya tak makan tomyam ni. Dulu arwah daddy selalu masak. Sejak arwah daddy sakit teruk, dah lama sangat Esha tak makan.” Wajah Jihan Raysha bertukar keruh.

Iqram Zafriel terkejut. Terkulat-kulat dia memandang Encik Syazlan dan Puan Soraya. 

“I’m so sorry Esha. Saya tak tahu daddy awak dah takde. Jadi sekarang siapa ada di London? Ibu awak?” soal Iqram Zafriel ingin tahu. 

Jihan Raysha tergeleng. Kenapalah soalan macam ini nak tanya waktu dia tengah berselera nak makan? Kan dah hilang selera! 

“Iqram.” Panggil Encik Syazlan. 

Dahi Iqram Zafriel berkerut. Pelik melihat wajah Puan Soraya dan Sofiyya. Encik Syazlan juga seperti menghantar isyarat supaya dia diam. 

“It’s okay, uncle. Mummy saya dah lama meninggal… waktu umur saya lima tahun.” 

“Sorry awak.”

“It’s okay. Saya ada abang. Bukannya saya seorang je,” balasnya. 

“Uncle, auntie… Piyya pun ada,” sampuk Encik Syazlan. 

Jihan Raysha tersenyum. Terharu dengan layanan baik mereka padanya. 

“Oh, abang awak sekarang kat mana?” soal Iqram Zafriel ingin tahu.

Jihan Raysha pandang lelaki di sebelahnya. Pelik kerana banyak betul dia nak tahu. 

“Melbourne.”

“Kerja apa?” 

“Arkitek.” 

“Company apa?” 

“Meor & McCormick Architects.” 

“Really?” Iqram Zafriel nampak terkejut.

“Eh, awak kenal?” Berkerut dahi Jihan Raysha.

“Mestilah saya kenal. Syarikat tu agak well-known. Pernah menang international. Eh, tapi bukan Meor & McCormick Architects kat London?” 

“Abang saya uruskan projek kat Melbourne. Mungkin dalam tiga tahun. Tahun depan kalau settle, balik semula London,” jawab Jihan Raysha. Dia terasa bangga kerana Iqram Zafriel mengenali syarikat usaha sama arwah syarikatnya dengan Uncle William. 

“Wow, hebat. Kalau ada rezeki, bolehlah saya dan abang awak bekerjasama. Tapi mesti susah kan?” Iqram Zafriel tergelak kecil pula. 

Encik Syazlan menggeleng.

“Budak ni… kepala tu asyik fikir kerja je.”

Iqram Zafriel tarik sengih.

“Awak pun arkitek juga ke?” soal Jihan Raysha ingin tahu.

“Tak. Saya kontraktor je.” 

“Sudah-sudahlah bercerita pasal kerja tu. Naik muak mak su dengar. Hmm… malam ni Esha tidur sini ye? Lagipun dah malam sangat ni. Esok boleh je Esha pergi kerja sama-sama dengan uncle,” sampuk Puan Soraya dengan nada separuh memujuk. Dia memang mahu berborak panjang lagi dengan gadis ini. 

“Hmm… takpelah auntie. Lain kali ye. Lagipun Esha takde bawa baju,” tolak Jihan Raysha serba salah. Tambah dia serba salah melihat wajah muram Puan Soraya dan Sofiyya. 

“Lain kali jelah awak ajak Esha. Lagipun tadi dia dah penat pergi Ipoh. Esok nak pergi mana pula Esha?” soal Encik Syazlan. Dia faham kenapa Jihan Raysha menolak. Kalau bermalam di rumahnya, nampaknya malam ini tidak tidurlah Jihan Raysha kerana terpaksa melayan isteri dan anaknya berbual. 

“Shah Alam rasanya,” jawab Jihan Raysha lambat-lambat. Dia masih mengambil masa mengingati nama tempat. 

“Kalau macam tu… nanti biar Iqram jelah hantar Esha balik. Awak duduk mana?” 

“Hotel.” 

“Eh, tak cari rumah lagi?” soal Iqram Zafriel terkejut.

“Esha last minute baru beritahu nak tukar. Uncle sendiri tak sempat carikan rumah sewa. Sebab tu Esha duduk hotel je lagi,” sampuk Encik Syazlan. Nampak riak bersalah. 

“Hmm… takpelah. Nanti Iqram tolong carikan juga. Umur awak ni berapa?” 

“Hah?” Terkejut dengan soalan tiba-tiba itu.

“Bukanlah… rasanya awak ni lagi muda dari saya, kan?” soal Iqram Zafriel.

Jihan Raysha mengangguk. Lagipun tadi Encik Syazlan sudah memaklumkan usia lelaki ini. Bukanlah tua sangat seperti yang digembar-gemburkan oleh Encik Syazlan. 

“25 tahun.” 

“Oh, kalau macam tu… Esha panggil jelah saya ‘abang’ macam Piyya ni panggil. Takdelah nak rasa kekok sangat nanti,” ujar Iqram Zafriel. 

“Betul tu kakak! Abang Iqram ni dah tua. Memang layak sangat kakak panggil dia ‘abang’. Panggil ‘uncle’ pun takpe juga kan, Abang Iqram?” sakat Sofiyya. 

“Ai… budak kecik ni. Abang tak mahu nanti belanja apa-apa dah,” ugut Iqram Zafriel.

Sofiyya tarik sengih.

“Okay. Okay. Piyya takkan kutuk Abang Iqram lagi depan kakak,” ucap Sofiyya ketawa kecil. Dia terus bangun dari duduk menuju ke singki. Jihan Raysha turut sama bangun. 

“Budak berdua ni… kalau tak bertekak memang tak sah!” Tergeleng Encik Syazlan. Dia menyerahkan pinggan pada isterinya.

“Biar je situ Esha,” tegur Puan Soraya apabila melihat Jihan Raysha sudah mula menyingsing lengan baju. Rambut yang dibiarkan tidak terikat tadi juga sudah disanggul tinggi. 

“Takpe auntie. Bukan banyak pun. Lagipun Esha makan banyak tadi.” 

“Nanti balik… Abang Iqram hantar awak balik ye? Kesian pulak nak suruh uncle,” ucap Iqram Zafriel yang sudah berdiri di sisi Jihan Raysha. Sempat dia menolak Sofiyya. Dia kenyit mata Sofiyya yang sudah tersengih penuh makna.

Jantung Jihan Raysha berdegup kencang. Dia ni dah kenapa? Baru nak elak, dah boleh tercegat di sebelahnya pula. Siap hulur tangan meminta pinggan yang sudah disental dengan sabun. Dia menjeling pada Puan Soraya dan Encik Syazlan yang sudah tersengih-sengih.

“Jarang Abang Iqram ni rajin. Malam ni bibik berehat,” ucap Sofiyya pada bibiknya yang terpinga kerana tugas membasuh semua pinggan mangkuk diberikan pada pasangan di hadapannya ini. Tapi dia turut sama tersengih kerana pertama kali melihat Iqram Zafriel terlebih rajin. 

“Takpelah. Saya boleh naik teksi.” 

“Tak payah. Biar Iqram tu hantar. Kalau tak nak Iqram hantar, Esha tidur sini malam ni. Uncle pun rabun juga nak memandu malam-malam ni.” Sengaja Encik Syazlan beralasan. 

Jihan Raysha mengeluh. Tersepit pula dia. Rasa nak sepak jauh-jauh je lelaki di sebelahnya kini. Penyibuk kuasa dua! 



HONDA CIVIC TYPE R berwarna merah diletakkan betul-betul di hadapan pintu masuk Mega Hotels and Resorts Kuala Lumpur. Pengawal yang bertugas sudah sedia maklum dengan kereta milik Iqram Zafriel, hanya membiarkan sahaja. Wajah tegang Jihan Raysha dipandang sekilas. Degil sungguh! 

“Takpelah Abang Iqram. Saya boleh beli sendiri nanti.” Jihan Raysha menggeleng. 

“Lah, ambil jelah. Lagipun memang Abang Iqram baru beli telefon baru. Alang-alang awak tertinggal telefon, guna jelah dulu telefon ni.”

Iqram Zafriel masih tidak berputus asa. iPhone diserahkan pada Jihan Raysha. 

“Mungkin ni bukan yang latest, tapi kalau awak nak yang latest, nanti kita beli,” pujuk Iqram Zafriel lagi. Sebenarnya dia sendiri naik pening dengan keprihatinan tiba-tiba dia pada gadis comel di sebelahnya ini. Mungkin disebabkan mengetahui Jihan Raysha kini yatim piatu dan hanya mempunyai seorang abang… dan juga berseorangan di bumi asing ini walaupun gadis itu berdarah Melayu. 

“Hmm… kat London pun, memang saya guna yang ni je,” sahut Jihan Raysha merendah diri. Bukan dia tidak berminat mengejar teknologi, tetapi barang yang masih elok… membazir sahaja kalau ditukar. 

Iqram Zafriel garu kepala. Dia sudah kecilkan hati Jihan Raysha ke?

“Macam ni… selagi awak tak beli telefon baru, atau balik London ambil telefon awak… guna jelah iPhone ni. Buat harta pun Abang Iqram tak kisah. Kebetulan Abang Iqram memang ada dua nombor. Cuma nombor ni family je tahu. Nanti Abang Iqram bagitahu family Abang Iqram jangan guna nombor tu dah.”

Jihan Raysha mengeluh. Dia pandang lama wajah Iqram Zafriel. Cuba mencari keikhlasan dari pertolongan yang ditawarkan itu. Lagipun mereka baru kenal tidak sampai satu hari. Kenapa baik sangat lelaki ni? 

“How about telephone bill?” 

“Err... you text me your email. I forward the bill to you.” 

“Thanks.” Jihan Raysha tersenyum. Dia pandang lagi wajah Iqram Zafriel. 

“Abang Iqram ni memang baik dengan semua orang ke?” 

Iqram Zafriel tersengih. Dengan awak sorang je…. 

“Takdelah. Awak kan dah macam ahli keluarga pak su saya juga. Saya tengok betapa rapat betul awak dengan Piyya tu. Piyya tu memang saya dah anggap macam adik sendiri. Memang dia tu ada masalah keyakinan diri sikit….” Iqram Zafriel mengeluh bila teringatkan adik sepupunya itu. 

“Saya sedar lama dah. Piyya suka bandingkan dia dengan orang lain.”

“Jadi… awak terima ya iPhone ni? Semua contact saya masih ada dalam tu. Mana yang awak rasa delete, awak delete je.” 

Jihan Raysha mengangguk. Dia membelek iPhone yang berada di tangannya kini. 

“Nombor Abang Iqram?” 

“Jap!” Hampir Iqram Zafriel terlupa. Dia menyeluk poket seluar. iPhone yang baru sahaja dibelinya semalam dikeluarkan. Tidak sampai beberapa saat, iPhone pada tangan Jihan Raysha berbunyi. 

“Ha, itu nombor Abang Iqram. Save.”

“Lagu apa tadi?” 

“Lagu?” Berkerut dahi Iqram Zafriel.

“Lagu yang keluar dari telefon ni.” 

“Hmm….” Kelu nak menjawab. Adiknya yang sibuk mahu menukar ringtone iPhone miliknya. Selama ini dia lebih senang hanya menggunakan default ringtone yang sedia ada. Dia malas mahu memuat turun dari iTunes. Leceh. 

“Tajuk lagu tadi…. Masih Mencintainya,” beritahu Iqram Zafriel. 

Jihan Raysha tarik sengih.

“Romantik juga ya Abang Iqram ni? Lagu cinta.” Tersengih Jihan Raysha tidak percaya.

“Takdelah. Kebetulan baru download. Esha nak dengar?” 

Laju Jihan Raysha mengangguk. 



Jika teringat tentang dirimu
Berlinang air mataku
Ku rindu saat-saat bersamamu
Kasih sayangmu padaku

Kini kau bukan milikku
Dan berakhir sudah cintaku
Biarkan saja hatiku bicara
Ku masih sayang padamu

Aku selalu mendoakanmu
Agar kau bahagia
Bersama dirinya selamanya

Mengapa mudahnya hatimu mendua
Ku lapangkan dada walau aku terluka
Semoga bahagia bersama dirinya
Karena kau telah memilih dia

Betapa sakitnya apa yang ku rasa
Tuhan kuatkanlah hatiku yang terluka
Semoga ku bisa tuk melupakannya
Karena ku masih mencintainya

Kini kau bukan milikku
Dan berakhir sudah cintaku
Biarkan saja hatiku bicara
Ku masih sayang padamu

Aku selalu mendoakanmu
Agar kau bahagia
Bersama dirinya selamanya
wooo wooo

Mengapa mudahnya hatimu mendua
Ku lapangkan dada walau aku terluka
Semoga bahagia bersama dirinya
Karena kau telah memilih dia

Betapa sakitnya apa yang ku rasa
Tuhan kuatkanlah hatiku yang terluka
Semoga ku bisa tuk melupakannya
Karena ku masih mencintainya

“Best?” soal Iqram Zafriel perlahan.

Jihan Raysha pandang Iqram Zafriel. Entah kenapa… fikirannya terus melayang pada Aidan di London. Tiba-tiba dia diburu rasa bersalah. Sudah lama juga dia tidak berbual dengan Dash sejak dia sampai ke Malaysia. 

“Sedih sangat ke lagu ni?” soal Iqram Zafriel lagi. Terkejut melihat mata Jihan Raysha yang sudah berkaca-kaca. 

“Takdelah. Hmm… jom tangkap gambar nak?” Jihan Raysha tarik senyuman lebar. 

“Hah?” 

Jihan Raysha mengeluarkan Instax Mini 90 Neo Classic dari dalam beg tangan. 

“Wow!” Iqram Zafriel kagum.

“Esha selalu bawa pergi mana-mana kamera ni. Mari dekat sikit.” Selamba Jihan Raysha tarik lengan Iqram Zafriel. Tanpa sempat Iqram Zafriel berkata apa-apa, kamera itu terus mengeluarkan cahaya dan sesaat kemudian gambar mula keluar. 

Iqram Zafriel terlopong. 

“Terima kasih Abang Iqram. Jangan terkejut macam tu sekali. Memang Esha suka simpan gambar macam ni.” Gambar sudah disimpan di dalam beg. 

“Nak tengok!” Sebenarnya hati Iqram Zafriel dah berbunga ceria apabila mendengar bahasa panggilan Jihan Raysha tadi. Amboi, mesra sungguh. Sudah hilang panggilan ‘saya’ tu. 

Jihan Raysha menggeleng. Dia terus membuka pintu kereta dan melangkah keluar dan terus menuju ke bahagian pemandu. Iqram Zafriel segera membuka tingkap kereta. Dia tatap wajah comel Jihan Raysha yang tersenyum girang. 

“Terima kasih hantar Esha balik. Terima kasih untuk lagu tadi. Selain dari lagu P. Ramlee dan Jamal Abdillah yang arwah daddy selalu dengar, lagu tadi tu… lagu Melayu pertama yang Esha dengar.” Semakin lebar senyuman Jihan Raysha. 

“Bukan lagu Melayu. Lagu Indonesia sebenarnya,” maklum Iqram Zafriel segera.

“Oh, ya? Takpelah. Sama je Esha dengar.” 

“Abang Iqram nak tengok gambar tadi.” Iqram Zafriel masih tidak berpuas hati. Risau kalau mulutnya ternganga ataupun mukanya memang betul-betul buruk dalam gambar candit tadi. Sudahlah dia ni memang tak suka selfie. Geli! 

“Jangan risau. Esha sorang je tengok.” Jihan Raysha tarik sengih dan dia terus mencicit masuk ke dalam hotel. 

Iqram Zafriel terpinga. Dia pegang dada. Sudahlah kenapa jantung di tidak berhenti berdegup macam baru lepas balik gim ini?




1 comment:

  1. Cita lama tajuk baru ke Iman. Cita pasal kembar tiga tu.

    Kmas

    ReplyDelete

Back to Top